Saturday, January 3, 2009

YURAN SEKOLAH

Pendaftaran murid-murid tingkatan satu dan peralihan diadakan pada 2hb Januari mulai jam 8 pagi. Ada yang hadir bersama ibu bapa atau penjaga, dan ada juga yang hadir bersendirian.

Murid-murid dikumpulkan di dalam dewan mengikut kelas masing-masing bagi mengikuti taklimat yang disampaikan oleh Penolong Kanan Akademik, Setiausaha Kokurikulum dan Guru Disiplin. Dewan agak sempit oleh kerana ianya hanyalah bilik-bilik darjah. Upacara tidak dapat diadakan di Tapak Perhimpunan kerana pagi itu hujan renyai-renyai.

Tidak semua murid berada di dalam dewan. Ramai juga berkeliaran di luar dewan bersama ibu-bapa atau penjaga masing-masing. Ada yang berurusan di kedai buku bagi membeli keperluan alatulis dan buku latihan. Oleh itu tidak semua yang mengikuti taklimat yang diberi.

Selesai taklimat, murid-murid dibawa ke bilik darjah masing-masing oleh guru kelas. Setiap guru kelas dibantu oleh seorang guru bagi melancarkan lagi urusan seterusnya.

Ibu-bapa/Penjaga/Murid berjumpa dengan guru kelas/pembantu mengikut nombor giliran yang telah diberikan sebaik sahaja mereka sampai ke sekolah, bagi menyerahkan segala dokumen yang diperlukan dan membuat bayaran.

Tahun ini yuran sekolah dan yuran PIBG hanya akan dikutip pada bulan Mac. Apa rasionalnya?...tidak dinyatakan. Guru-guru hanya mengutip bayaran tambahan sahaja.

Murid-murid lelaki perlu membayar RM100 manakala murid-murid perempuan pula RM92.
Bayaran tambahan ini adalah untuk berbagai jenis buku dan kad laporan, kemeja-T (2 jenis), tali leher, lencana sekolah dan lencana sesi.

Ada di antara item yang murid dikehendaki beli, pada pandangan saya yidak perlu dan adalah satu pembaziran.

1. Tali leher bagi murid lelaki.
Kebanyakan murid tidak memakai tali leher yang telah dibeli. Kalau ada yang pakai pun tidak memakainya dengan betul. Lagi pun tali leher tidak sesuai untuk dipakai di negara kita yang panas sepanjang tahun!

2. Buku Laporan Kemajuan Akademik dan Kad Ujian Bulanan.
Markah untuk setiap ujian dan peperiksaan dimasukkan ke dalam komputer dan laporan untuk setiap murid boleh dicetak. Tapi guru masih perlu mengisi Buku Laporan Kemajuan Akademik dan Kad Ujian Bulanan! Kenapa mesti buat kerja yang sia-sia?

3. Kad Disiplin.
Kad ini hanya digunakan bagi mencatat salah laku murid. Yang terlibat bukan semua tapi semua murid dikehendaki membeli kad ini. Bukankah ini satu lagi pembaziran?

3. Kad 001.
Ada sekolah yang telah memansuhkan penggunaan kad ini (langkah yang bijak). Semua maklumat yang perlu diisi ke dalam kad ini telah pun ada di dalam Buku Laporan Kesihatan, Buku Laporan Kokurikulum, Buku Laporan Akademik, Kad Ujian Bulanan dan Buku Laporan Adap Belajar, yang semuanya disimpan di dalam Fail Profil Murid. Sekali lagi satu pembaziran dan guru-guru membuat kerja yang sia-sia.

4. Buku Laporan Adap Belajar.
Adap belajar dikuantifikan dengan nombor? Sangat tidak munasabah!

Ini hanyalah pandangan peribadi seorang guru yang tiada pengaruh dalam membuat keputusan. Tidak akan mendatangkan apa-apa perubahan pun. Tapi masih perlu diluahkan juga.

Walau apa pun, guru ini masih perlu mengikut arahan.

No comments: