Dalam posting saya yang lepas saya menyokong tindakan kerajaan Pulau Pinang. Tapi kali ini saya membantah 100%!
Keputusan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk tidak memboikot produk Amerika menunjukkan kerajaan negeri tersebut tidak sensitif terhadap apa yang berlaku di Palestin. Tidak sensitif, tidak peka, tidak ambil pusing....hanya mementingkan diri sendiri.
Kita semua harus sedar bahawa peperangan di Palestin itu bukan peperangan antara agama. Perbalahan di Palestin itu merupakan perebutan kawasan, di mana Israel mahu melenyapkan Palestin bagi memperluaskan Israel.
Peluru dan bom yang disasarkan oleh tentera Israel ke arah Palestin tidak memilih mangsanya hanya yang Islam sahaja. Penduduk Palestin bukan semuanya Islam. Ada juga yang menganut agama lain.
Apa yang kita semua bantah adalah mangsa serangan Israel itu terdiri daripada kanak-kanak, wanita, orang-orang tua...menjadikan perbuatan Israel itu satu jenayah terhadap kemanusiaan, dan bukan terhadap mana-mana agama.
Sememangnyalah semua agama mengharamkan pembunuhan.
Walaupun mendapat bantahan dari seluruh dunia, namun Israel berterusan menyerang Palestin kerana mereka mendapat sokongan dan bantuan dari kuasa-kuasa besar, terutamanya Amerika Syarikat. Negara-negara lain tidak akan dapat mengalahkan Israel dengan menggunakan kuasa ketenteraan selagi Amerika berada di belakang Israel.
Oleh itu, cara yang paling efektif ialah dengan cara memboikot produk-produk yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat yang menyumbang kepada jenayah kemanusiaan yang dilakukan oleh Israel.
Perlu diingat bahawa setiap sen yang dibelanjakan bagi membeli produk-produk yang dimaksudkan bersamaan dengan satu sen sumbangan kepada Israel untuk membolehkannya menyerang Palestin!
Kita tidak mampu pergi berperang tapi sesungguhnya kita mampu untuk memberi tekanan ekonomi kepada negara-negara yang bersekongkol dengan Israel.
No comments:
Post a Comment