Tuesday, May 26, 2009

KENAPA 1 SEKOLAH UNTUK SEMUA?

Untuk memahami konsep 1 sekolah untuk semua, perlu dilihat apa yang terkandung di dalam DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN.

Latarbelakang

Dalam tahun-tahun menuju kemerdekaan, telah timbul kesedaran di kalangan pemimpin dan rakyat Malaysia tentang betapa mustahaknya diadakan satu sistem pendidikan kebangsaan untuk mengganti sistem pendidikan penjajah bagi memenuhi kehendak negara. Atas kesedaran inilah lahir satu Dasar Pendidikan (Pelajaran) Kebangsaan melalui Penyata Razak 1956 dan
dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran, 1957.

Dasar pendidikan ini telah disemak semula dalam tahun 1960 yang menghasilkan Laporan Rahman Talib. Laporan Rahman Talib ini kemudian dimaktubkan dalam Akta Pelajaran, 1961.

Kemudian, sebuah Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan dalam tahun 1974 untuk mengkaji semula Dasar Pendidikan dengan tujuan untuk memperbaiki pelaksanaannya supaya matlamat
untuk melahirkan satu masyarakat yang bersatupadu dan berdisiplin serta memenuhi keperluan tenaga rakyat yang terlatih bagi pembangunan negara dapat dicapai.

Laporan Jawatankuasa ini telah diterbitkan dalam tahun 1979.

Rasional

Sistem pendidikan di zaman penjajahan telah berkembang tanpa mengambilkira kepada keperluan pembangunan, pembentukan identiti kebangsaan dan perpaduan negara.

Sistem Pendidikan berkenaan mengekalkan tumpuan taat setia rakyat pendatang dan keturunan mereka kepada negara asal mereka dan menekan (suppress) semangat pembangunan rakyat tempatan.

Sistem ini mungkin secocok dengan Tanah Melayu yang terjajah tetapi apabila Tanah Melayu sudah merdeka, ia didapati tidak lagi sesuai.

Oleh itu, langkah-langkah diambil bagi menggubal satu sistem pendidikan kebangsaan yang sesuai untuk negara yang merdeka dan mempunyai matlamat-matlamat sendiri.

Objektif

Objektif dasar ini dinyatakan dalam Pendahuluan kepada Akta Pelajaran, 1961, iaitu:

"BAHAWASANYA dasar pelajaran seperti yang diisytiharkan dalam Ordinan Pelajaran, 1957 ialah untuk menubuhkan satu sistem pendidikan yang akan dapat memenuhi keperluan negara
dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi, dan politiknya..."

Objektif ini dinyatakan secara am tetapi dalam melaksanakannya, Kementerian Pendidikan dengan berpandukan kepada Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960, telah mentafsirkannya sebagai menyatupadukan kanak-kanak sekolah berbilang kaum dan menyediakan tenaga kerja ("tenaga rakyat", istilah yang digunakan oleh Laporan Jawatankuasa Kabinet) bagi keperluan ekonomi.

Seterusnya, objektif-objektif ini diperkhususkan lagi apabila Jawatankuasa Kabinet ditubuhkan dan bidang tugasnya ditetapkan. Ini mencerminkan hasrat bahawa Dasar Pendidikan
diharapkan dapat memenuhi keperluan tenaga rakyat negara ini dalam jangka panjang dan pendek dan melahirkan masyarakat yang bersatupadu, berdisplin dan terlatih.

Falsafah Pendidikan Negara yang diasaskan kepada hasrat serta aspirasi negara dan dinyatakan secara bertulis baru-baru ini memberi penekanan kepada usaha melahirkan insan yang berilmu dan berakhlak, seimbang dan harmonis, yang boleh mencapai kesejahteraan diri dan memberi sumbangan kepada keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Ini menjadi satu matlamat penting sistem pendidikan kebangsaan.

Strategi Pelaksanaan

Beberapa strategi telah digubal untuk mencapai matlamat Dasar Pendidikan yang telah ditetapkan seperti berikut:

(a) Menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang utama;

(b) Mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan Malaysia bagi semua jenis sekolah;

(c) Mewujudkan sistem peperiksaan yang sama bagi semua;

(d) Melicinkan tatacara pengurusan pendidikan;

(e) Meningkatkan mutu pendidikan keseluruhannya dengan menyediakan pendidikan yang menyeluruh, seimbang dan bersepadu;

(f) Mengadakan peluang pendidikan asas selama sembilan tahun;

(g) Mendemokrasikan pendidikan dari segi peluang dan mutu dengan mengagihkan peruntukan secara adil dan memberi perhatian khas kepada kumpulan yang kurang bernasib baik dan kawasan luar bandar atau pendalaman;

(h) Menyediakan pendidikan rendah mengikut Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang berasaskan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira pada tahun 1983 yang menjurus kepada
kurikulum bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1989. Matlamat utama kurikulum baru ini adalah untuk melahirkan individu yang seimbang dari segi ilmu pengetahuan dan kemahiran yang sesuai dan mempunyai moral serta nilai etika yang kukuh;

(i) Memperluaskan pendidikan Vokasional dan Teknik melalui penyusunan semula kurikulum Sekolah Vokasional pada tahun 1978;

(j) Mempelbagai dan memperbanyakkan kemudahan pendidikan di peringkat universiti terutama dalam bidang sastera gunaan dan sains gunaan;

(k) Mempertingkatkan pendidikan kerohanian, moral dan disiplin;

(l) Menjadikan Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran yang wajib diajar di sekolah-sekolah dan memberi peluang yang sempuma bagi pembelajaran bahasa-
bahasa lain seperti Bahasa Cina dan Bahasa Tamil
; dan

(m) Menggalakkan aktiviti ko-kurikulum yang memupuk disiplin, seperti pasukan-pasukan kadet tentera, kadet polis, pengakap, puteri Islam dan lain-lain.

Di samping strategi ini, Dasar Pendidikan Kebangsaan juga dilaksanakan dengan mengada dan memperkembangkan tenaga pengajar yang terlatih dan juga mendirikan sekolah-sekolah
selaras dengan pertambahan kanak-kanak.

Di Kementerian/Jabatan Pendidikan pula, beberapa Bahagian dan Jawatankuasa yang meliputi perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Dasar Pendidikan Kebangsaan telah ditubuhkan atau diperkuatkan bagi memastikan tercapainya hasrat Dasar Pendidikan ini.

Diantaranya termasuklah penubuhan Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan, Bahagian Pelajaran Teknik dan Vokasional, Jawatankuasa Pusat Kurikulum, Biro Buku Teks,
Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia, Jawatankuasa Perancangan Pendidikan, Bahagian Perkhidmatan, Sebaran Pendidikan dan Pusat Perkembangan Kurikulum.

Pencapaian Semasa

Di dalam menilai pencapaian semasa, dua matlamat utama Dasar Pendidikan Kebangsaan yang hendak dilihat ialah:

(a) Sama ada pelaksanaan sistem pendidikan dan kurikulum yang ada sekarang dapat melahirkan keperluan tenaga rakyat dalam jangka pendek dan jangka panjang yang diperlukan oleh negara; dan

(b) Sama ada sistem pendidikan negara telah dapat melahirkan rakyat yang bersatupadu, berdisiplin dan terlatih.


Untuk mengetahui dengan tepat sama ada pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan telah dapat memenuhi keperluan tenaga rakyat adalah satu perkara yang sukar. Hakikat ini diakui
oleh Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pendidikan 1974.

Antara sebab-sebab yang dinyatakan ialah kurangnya kajian-kajian dibuat khusus untuk meneliti kedudukan dan keperluan tenaga rakyat negara ini. Keperluan tenaga rakyat yang bergantung kepada perkembangan ekonomi negara memang sukar ditentukan memandangkan perkembangan itu sangat dipengaruhi oleh iklim ekonomi dunia yang berubah-ubah.

Namun begitu, hasil dari pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan selama ini, tenaga rakyat yang dihasilkan pada keseluruhannya dapat memenuhi keperluan gunatenaga negara kecuali di beberapa bidang tertentu. Selaras dengan Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pendidikan Kebangsaan juga telah dapat merapatkan jurang pengenalan bidang pekerjaan mengikut kaum sama ada di dalam sektor awam ataupun swasta.

Di samping itu ianya telah dapat mengurangkan kadar kemiskinan terutamanya bagi kaum bumiputera yang berpendidikan.

Mengenai matlamat melahirkan rakyat yang bersatupadu, berdisiplin dan terlatih, ada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa ini telah tercapai. Misalnya kurikulum yang sama dan
bercorak kebangsaan telah sedikit sebanyak menimbulkan dan memupuk perasaan dan kesedaran kebangsaan Malaysia di kalangan mereka yang melalui sistem pendidikan kebangsaan
.

Namun demikian, sukar dipastikan sama ada perasaan dan kesedaran itu telah membuahkan perpaduan. Malah, walaupun perpaduan wujud sekarang ini, sukar hendak dikatakan bahawa
ia adalah hasil daripada sistem pendidikan semata-mata kerana perpaduan bukannya bergantung kepada satu faktor sahaja walaupun sistem pendidikan merupakan satu daripada
faktor- faktor penting yang perlu diambilkira.

Pendidikan dan Latihan di Bawah Rancangan Malaysia Keenam Program pendidikan dan latihan akan dimaju dan dipertingkatkan di bawah Rancangan Malaysia Keenam (91-95) ini untuk melahirkan tenaga kerja yang berpendidikan, mahir dan terlatih. Setiap individu akan dilengkapkan dengan pengetahuan dan kemahiran yang sesuai, tetapi juga untuk
melahirkan warganegara yang bertangungjawab serta mempunyai nilai-nilai moral dan etika yang kukuh.

Keutamaan yang lebih kepada pendidikan dan latihan kerana ia akan membantu kepada
pencapaian matlamat Dasar Pembangunan Nasional (DPN), terutama untuk membasmi kemiskinan dan juga penyusunan semula masyarakat.

Penyediaan lebih banyak peluang pendidikan dan latihan akan diberikan kepada golongan yang
berpendapatan rendah. Ini akan meningkatkan pendapatan dan peluang mereka untuk mendapat pekerjaan dan selanjutnya menyumbangkan peningkatan agihan pendapatan.

Penutup

Dasar Pendidikan Kebangsaan sememangnya dapat menampung keperluan-keperluan negara buat masa ini dan masa depan. Selaras dengan hasrat negara untuk mencapai tahap negara
perindustrian adalah penting rakyatnya diberikan pendidikan secucuk dengan keperluan-keperluan swasta bagi bidang-bidang tertentu seperti pengeluaran, pelancongan, perkhidmatan, dan sebagainya.

Oleh itu dasar ini bukan sahaja dapat memenuhi keperluan tenaga manusia dari segi jumlah tetapi juga dari segi kualiti. Dasar ini seharusnya dapat menggalakkan lebih ramai rakyat yang terlibat secara aktif dalam bidang keusahawanan dan tidak bergantung semata-mata kepada
kerajaan untuk mencari kerja. Ini adalah selaras dengan dasar kerajaan semasa yang menekankan penyertaan swasta secara aktif.

Sumber : Pejabat Perdana Menteri

Ordinan Pelajaran (1952)

Sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan oleh kerajaan British untuk mengkaji Laporan Barnes dan Fenn-Wu.

Laporan jawatankuasa ini dikenali sebagai Ordinan Pelajaran (1952).

Sekolah Kebangsaan - corak sistem persekolahan kebangsaan, iaitu Sekolah vernakular Cina dan Tamil tidak diterima sebagai sistem persekolahan kebangsaan.

Bahasa Cina dan Tamil diajar sebagai bahasa ketiga.

Walau bagaimanapun, Ordinan Pelajaran (1952) ini tidak menjadi kenyataan disebabkan masalah kewangan.

DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN itu sendiri telah menetapkan bahawa BAHASA KEBANGSAAN digunakan sebagai Bahasa Pengantar yang utama, sebagaimana yang di nyatakan di dalam Penyata Razak dan Penyata Barnes yang mendapat tentangan di dalam Penyata Fenn-Wu. Walaupun Ordinan Pelajaran (1952) tidak dapat dilaksanakan, intipatinya terkandung di dalam DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN.

Persoalannya sekarang, kenapa masih lagi wujud sekolah-sekolah vernakular yang telah melahirkan masyarakat yang mempunyai fikiran dan aspirasi yang berbeza?

Oleh itu amat lah perlu dilihat semula kepada sejarah perkembanagn pendidikan negara ini dan dilaksanakan apa yang telah digariskan oleh pemimpin-pemimpin yang terdahulu bagi melahirkan masyarakat yang bersatu padu dan mempunyai aspirasi yang sama demi kemakmuran negara.

No comments: