Dulu.......
Setiap hujung tahun Abah dan Emak akan mencari kenalan yang ada anak yang bersekolah untuk membeli buku teks mereka untuk digunakan oleh kakak. Buku-buku kakak pula akan diturunkan kepada adeknya dan seterusnya.
Kini......
Semua anak-anak sekolah dibekalkan buku teks percuma.
Dulu....
Saya empat beradek membawa buku teks ke sekolah dalam bakul atau beg kotak untuk setiap matapelajaran yang dijadualkan. Tiada beg sekolah berjenama apatah lagi yang beroda. Pergi ke sekolah berjalan kaki. Tak pernah timbul masaalah sakit belakang atau menjadi bebanan bagi kami.
Kini....
Ada anak-anak sekolah membawa beg sandang yang hanya berisi beberapa naskah buku tulis. Buku teks yang dibekalkan secara percuma menjadi tidak bernilai kepada mereka. Tidak perlu dibawa ke sekolah kerana membebankan!
Dulu....
Saya empat beradek belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Guru-guru yang mengajar semuanya berbangsa China dan tinggal di bandar. Mereka mengajar, tapi murid belajar atau tidak lain cerita. Tak pernah pun ada kelas tambahan di luar waktu sekolah. Kami berempat masih boleh menguasai Bahasa Inggeris dengan baik.
(Ada seorang guru yang mengajar Matematik Tambahan, selepas waktu sekolah akan menghimpunkan murid-murid yang berbangsa China untuk diberi bimbingan. Yang lain.....)
Kini....
Guru yang mengajar ramai yang berbangsa Melayu. Semua murid tanpa mengira kaum diajar sama rata. Kelas bimbingan juga diadakan untuk semua. Malangnya murid pula yang tidak mahu dibimbing. Maklumlah, kelas tambahan diberi secara percuma. Tak ada nilai. Murid memilih untuk pergi ke kelas-kelas bimbingan yang berbayar!
Dulu...
Alat bantu mengajar yang digunakan guru hanya buku teks, kapor dan papan tulis. Tiada lembaran kerja tambahan. Tiada buku kerja tambahan. Masa tu komputer belum dicipta pun.
Untuk latihan tambahan, Abah akan bawa kami ke Ipoh untuk cari soalan tahun-tahun lepas dari kedai buku Mubarak. Kami tak pergi kelas tiusyen sebab tak mampu.
Kini....
Berbagai alat bantu mengajar digunakan oleh guru. Nota dan lembaran kerja dibekalkan. Guru juga mengadakan kelas tambahan selepas waktu sekolah. Rujukan tambahan boleh dibuat menggunakan berbagai media. Tiada batasannya. Penguasaan dalam Bahasa Inggeris menjadi masaalah?
Dulu....
Murid yang melakukan kesalahan akan dirotan di depan perhimpunan. Tiada pula murid yang dirotan menjadi trauma. Ibu bapa murid yang dirotan juga tidak pula datang ke sekolah menyerang guru atau membawa kes ke mahkamah.
Kini...
Hukuman rotan tidak dibenarkan dengan alasan mendera atau mengaibkan. Jika murid melakukan kesalahan hantar saja ke Kaunselor. Murid ini memang suka pergi jumpa kaunselor. Tak perlu belajar dalam kelas. Murid yang tak suka dididik oleh guru akan mengadu kepada ibu bapa yang akan ke sekolah untuk memarahi guru.
Pernah seorang ibu datang ke sekolah menyerang guru sebab menyuruh anaknya menghafal ayat al-Quran!
Mungkinkah kemajuan teknoloji menyebabkan terhakisnya jati diri? Adakah tugas guru itu kini hanya terbatas kepada mengajar dan tidak lagi mendidik? Fikir-fikirkanlah....
No comments:
Post a Comment