Tuesday, June 5, 2012

"Teknik membina jenama di Facebook"

Langkah pertama dalam menjadikan Facebook sebagai platform membina jenama perniagaan kita adalah, akaun Facebook yang perlu kita buka adalah "Pages". Sering kali, akaun yang kita sedia ada merupakan "Profile" yang menghubungkan kita dengan kenalan dan keluarga. Pages mempunyai beberapa ciri-ciri yang hebat untuk sesuatu perniagaan- yang tidak dimiliki Profile page yang kita sering gunakan. 

Antaranya adalah kebolehan menampung kenalan atau pengikut tanpa had (Profile page hanya terhad kepada 5,000 friends). Sebagai perniagaan, kita tidak patut menghadkan prospek kita! Facebook pages juga mempunyai kebolehan menghantar mesej terus ke inbox pengikut-pengikut perniagaan kita secara terus. Kaedah ini amat berguna dalam mempromosikan produk atau perkhidmatan kita. Daftar pages anda di http://www.facebook.com/pages

Kunci kejayaan membina jenama perniagaan kita melalui Facebook adalah dengan sering mengeratkan lagi hubungan antara kita sebagai perniagaan dan juga pengikut-pengikut kita. Ini boleh dilakukan dengan cara mencipta topik-topik di Facebook yang dapat menarik minat dan perhatian sasaran pasaran perniagaan kita.

Anggap akaun Facebook kita sebagai satu komuniti yang dapat menarik mereka yang berminat tentang produk dan perkhidmatan kita. Fikirkan pula, apakah isu atau topik yang dapat mencetus perbincangan yang positif di komuniti kita.

Sebagai contoh, sekiranya kita menjalankan perniagaan fotografi, fikirkan topik-topik yang berkaitan dengan fotografi yang boleh dibincangkan- topik boleh bermula daripada topik mudah seperti "Bagaimana cara memilih kamera DSLR terbaik?" hingga ke yang lebih kompleks seperti "Teknik dan kaedah mengawal pencahayaan untuk fotografi produk". Topik-topik yang dibincangkan akan berjaya menarik kumpulan sasaran yang tepat yang berminat dengan industri kita. Dan kumpulan ini merupakan prospek kita yang terbaik oleh kerana mempunyai hubungan maya dengan perniagaan kita.

Oleh: Irfan Khairi

No comments: