Baru saja minggu lepas kita dikejutkan dengan berita nasib dua orang ayah yang "dibuang" anak kandung mereka. Hari ini seorang ibu pula menerima nasib yang sama.
Tergamak anak ini menghalau ibu kandungnya sendiri. Saya yang membaca berita mengenainya pun boleh menitiskan air mata.
Sabda rasulullah s.a.w yang maksudnya:
“ Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.”
Riwayat al-Hakim
Huraian :
Pengajaran hadis:
i) Tanggungjawab anak terhadap kedua-dua ibu bapa terbahagi kepada dua iaitu tanggungjawab semasa mereka masih hidup dan tanggungjawab selepas mereka meninggal dunia.
ii) Semasa kedua-dua ibu bapa masih hidup anak-anak hendaklah berbakti dan berbuat baik kepada mereka kerana ibu bapa adalah orang yang paling banyak berjasa kepada anak. Di antara adab yang mesti dipraktikkan sentiasa ialah berlemah lembut dan berbudi bahasa apabila berkomunikasi dengan mereka, berbelanja untuk keperluan ibu bapa dan menjaga mereka dengan sebaik-baiknya.
iii) Manakala apabila kedua-dua ibu bapa telah meninggal dunia adalah menjadi tanggungjawab anak-anak untuk mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka, menzirahi pusara mereka, melaksanakan nazar mereka yang belum tertunai, menghubungkan silaturahim dengan sahabat handai ibu bapa, mengqadakan puasa yang terhutang, menunaikan haji sekiranya mampu, membaca al-Quran dan melunaskan hutang ibu bapa yang belum langsai semasa hayat mereka.
iv) Sesungguhnya bagi setiap anak, meskipun telah mempunyai keluarga sendiri mereka wajib mentaati dan menghormati kedua-dua ibu bapa. Anak yang tidak mentaati kedua-dua ibu bapa dianggap sebagai anak yang derhaka sedangkan kesalahan menderhaka termasuk di kalangan dosa-dosa besar.
v) Setiap anak yang derhaka akan dilaknat oleh Allah S.W.T, amalan dan ibadah mereka tidak diterima dan tidak akan mendapat ganjaran yang memungkinkan perbuatan baik yang dilakukan sepanjang hayatnya akan sia-sia. Oleh itu Islam menitikberatkan keredaan kedua-dua ibu bapa agar hidup sentiasa diberkati Allah.
Seseorang anak yang tidak mahu berbakti kepada ibu bapanya, dianggap sebagai anak derhaka. Perbuatan anak derhaka itu pula adalah dosa besar. Derhaka kepada ibu bapa bererti tidak mentaati, mencuaikan hak, melakukan sesuatu yang tidak diredai, menyakiti hati, memandang hina, mengabaikan penjagaan atau tidak membalas kebaikan mereka.Sesungguhnya, derhaka kepada ibu bapa termasuk dalam empat dosa besar, sebagaimana sabda Rasulullah, yang bermaksud:
Sebesar-besar dosa (dosa besar) ialah menyekutukan Allah, membunuh manusia, derhaka kepada ibu bapa dan menjadi saksi palsu.
(Hadis riwayat ImamBukhari).
Sebagai seorang anak, mengeluarkan kata-kata kesat, memaki, mencaci, meninggikan suara atau mengherdik terhadap ibu bapa adalah ditegah sama sekali. Ini jelas sebagaimana firman Allah, yang bermaksud:
...Janganlah kamu mengatakan kepada kedua-duanya (ibu bapa) dengan perkataan ah, dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.
(Surah al-Isra, ayat 23).
Balasan terhadap kesalahan menderhaka terhadap ibu bapa akan dirasakan ketika di dunia lagi.
Sabda Nabi, yang bermaksud:
Semua dosa ditangguhkan oleh Allah (seksaannya) mana-mana yang dikehendaki-Nya sehingga ke hari kiamat, melainkan dosa kerana menderhaka dua ibu bapa. Maka sesungguhnya, Allah akan segerakan seksaan dan azab ke atas pelakunya ketika hidupnya, sebelum mati.
(Hadis riwayat Tabrani dan Hakim)
Seksa dan azabnya derita yang ditanggung oleh anak derhaka di dunia ini begitu banyak. Di antaranya ialah hidup tidak dilindungi keberkatan atau sering risau dan gelisah. Rumah tangga pula sentiasa berada dalam keadaan kucar-kacir dan selalu dicemuh orang. Kekayaan habis dibelanjakan kepada perkara tidak berfaedah. Anak itu juga tidak dapat merasakan kenikmatan hidup. Kerana itu, berbuat baik kepada ibu bapa sangat dituntut dalam Islam.
No comments:
Post a Comment