Sunday, September 30, 2012

3 TABIAT KEWANGAN SIHAT

Apa yang membezakan orang kaya dan berjaya dengan mereka yang kurang berjaya dalam kewangan? Bezanya adalah, mereka yang berjaya dalam kewangan mempunyai tabiat kewangan yang sihat.

Berikut adalah 4 tabiat kewangam sihat yang anda mesti miliki!

Bayar diri sendiri terlebih dahulu

Untuk berjaya dalam kewangan, tabiat kewangan yang sihat diperlukan. Tabiat yang paling utama dan penting adalah untuk membayar diri sendiri terlebih dahulu. Ertinya tidak kira perbelanjaan bulanan kita, sebahagian daripada pendapatan  kita perlu diketepikan untuk diri sendiri SEBELUM melakuan bayaran bil, kereta, rumah, dan apa sahaja perbelanjaan. Dan pastinya, sebahagian ini bukan juga untuk dibelanjakan!

Buku-buku kewangan menyarankan sekurang-kurangnya, ketepikan 10% daripada pendapatan kita untuk diri sendiri. Namun, angka 10% ini adalah untuk permulaan. Apabila kita berjaya menanam tabiat menyimpan untuk diri sendiri, lama kelamaan, peratusan ini boleh dinaikkan sehingga 20% dan lebih!

Ada juga yang bertanya, apa perlu kita lakukan sekirnaya 10% pun kita tidak dapat menyimpan oleh kerana tanggungan perbelanjaan bulanan adalah tinggi? Jawapannya, mulakan bayaran kepada diri sendiri pada 2% dulu. Dan secara beransur-ansur, naikkan nilai ini sehingga 10%.

Kaedah menyimpan sebegini adalah amat penting supaya hingga satu masa, menyimpan tidak menjadi sukar dan ianya menjadi tabiat.

Tabiat menjejak wang masuk dan keluar

Kekayaan bukan sekadar berapa banyak kita perolehi, tetapi, ia juga bermaksud, berapa banyak kita belanjakan. Sekiranya kita berpendapatan RM10,000 sebulan, tetapi perbelanjaan RM15,000 sebulan (jangan terkejut, ramai yang sebegini!), maka, kewangan kita gagal!

Setiap hari, amalkan tabiat mencatat segala perbelanjaan kita. Dengan mencatat perbelanjan, kita tahu secara terperinci ke mana kewangan kita pergi. Tabiat mencatat segala wang keluar setiap hari akan membolehkan kita menjejak wang kita setiap minggu, dan setiap bulan. Dengan mengetahui segala wang yang keluar, kita boleh melakukan analisa sikap perbelanjaan kita - dan pastinya kita akan tahu di mana perlu kita kurangkan perbelanjaan sekiranya perlu.
  
Tabiat menambahkan aliran pendapatan

Untuk menjadi kaya, hanya dua sahaja perkara yang boleh dilakukan, iaitu:
i.  kurangkan perbelanjaan, dan
ii. tambahkan pendapatan.

Melalui ilmu yang dimiliki daripada tabiat membaca dan belajar, fikirkan cara-cara menambahkan pendapatan kita. Dengan memiliki pelbagai aliran pendapatan yang berlainan, bukan sahaja kita bersikap berhati-hati  sekirannya salah satu rezeki pendapatan kita terputus, tetapi, dengan mempunyai aliran pendapatan berganda, kekayaan dapat dibina dengan lebih pantas.

Aliran pendapatan boleh terdiri berbagai bentuk, termasuk pelaburan, hartanah, menjalankan perniagaan, royalty, komisyen dan sebagainya.

Kebanyakan orang kaya dan berjaya bukan sekadar mempunyai satu punca pendapatan sahaja, tetapi mempunyai banyak aliran pendapatan yang berlainan. Jadikan tabiat ini, sebagai tabiat anda!

Oleh: Irfan Khairi

Sunday, September 9, 2012

Motivasi bermula di minda

Fikirkan masa hadapan

Mereka yang berjaya mempunyai visi dan sering memikirkan masa hadapan.  Kebanyakan masa dihabiskan dalam melakarkan visi yang positif di masa hadapan. Kurangkan fikir tentang apa sahaja yang sudah lepas, sama ada kejayaan ataupun kegagalan lepas oleh kerana ia tidak lagi relevan.

Apakah gambaran hidup anda satu, tiga, lima atau sepuluh tahun akan datang? Seringkali lakukan senaman ini oleh kerana mereka yang mempunyai minda positif akan sedia mempunyai jawapan yang jelas kepada persoalan ini.

Punyai matlamat dalam minda

Miliki matlamat yang jelas setiap kali dalam minda. Memikirkan masa hadapan sering kali berorientasikan jangka panjang, manakala mempunyai matlamat adalah sesuatu yang lebih spesifik untuk dilakukan dan dihasilkan.

Adakah anda mempunyai matlamat hidup? Sekiranya ada, tahniah oleh kerana anda adalah antara 2% yang punyai matlamat hidup. Sekiranya tidak, maka, dapatkan pen dan kertas dan tuliskan dengan spesifik apa, bila dan bagaimana anda ingin mencapai matlamat anda.

Komitmen kepada kecemerlangan

Berikan komitmen kepada kecemerlangan. Mereka yang berjaya sering memikirkan cara untuk menjadi hebat dalam industry mereka. Walaupun, belum mencapai kecemerlangan, fikirkan ke arah itu.

Dalam apa sahaja industri sekalipun, telah terdapat mereka yang berjaya dalam bidang tersebut. Tidak kira apa pun bidang anda, lakukan penyelidikan ke atas mereka dan ketahui teknik dan strategi yang telah digunakan. Beri komitmen kepada minda anda bahawa untuk berjaya, kecemerlangan perlu diutamakan - dan  kecemerlangan memerlukan ilmu. Minda hebat, kejayaan pun pastinya hebat!
 

Oleh: Irfan Khairi